Kos sara hidup: Ubah cara berbelanja

KUALA LUMPUR - Sehingga November tahun lepas seramai 244,517 rakyat Malaysia mendapatkan khidmat kaunseling dari Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dan 40.7 peratus atau 99,347 orang daripada mereka terlibat dalam program pengurusan hutang.

Antara faktor utama masalah kewangan yang dihadapi mereka ialah kerana perancangan kewangan yang lemah iaitu sebanyak 22.9 peratus, kos perubatan yang tinggi (18.3%), kegagalan atau kelembapan dalam perniagaan (15.2%) dan hilang kawalan dalam penggunaan kad kredit (11.1%).

Untuk itu, dalam menghadapi kenaikan harga barangan dan perkhidmatan, rakyat di negara ini perlu mengubah cara berbelanja dan gaya hidup ke arah kesederhanaan, menurut Pengurus Besar Bahagian Perkhidmatan Korporat (AKPK) Azman Hasim.

Beliau berkata rakyat di negara ini perlu mengkaji semula corak perbelanjaan, selain berjimat-cermat bagi mengelak pembaziran, mewujudkan dana kecemasan dan mengelak daripada membuat pinjaman baharu.

"Disiplin dan fokus perkara kecil seperti kurangkan makan di luar, tutup suis elektrik dan paip air dengan sempurna, menabung sekurang-kurangnya 10 peratus daripada jumlah pendapatan serta berbelanja mengikut kemampuan adalah cara berkesan yang boleh membantu orang ramai bersiap sedia menghadapi masalah peningkatan kos," katanya kepada Bernama.

Azman berkata cara paling mudah ialah dengan mengadakan bajet dengan menyenaraikan pendapatan dan menolak setiap perbelanjaan yang perlu.

"Melalui senarai bajet, pengguna dapat melihat kekurangan atau lebihan perbelanjaannya, sekali gus boleh menstruktur semula perbelanjaan dan mengubah perbelanjaan negatif kepada positif agar dapat membuat simpanan tambahan," katanya.

Azman berkata orang ramai lazimnya sedar akan masalah yang dihadapi akibat situasi ini, namun jika mereka tidak melakukan apa-apa tindakan, ia boleh menjejaskan kehidupan peribadi termasuk masalah keluarga dan pekerjaan.

Sementara itu, Pengarah AKPK Datuk Mahani Tan Abdullah berkata orang ramai perlu memanfaatkan perkhidmatan percuma yang ditawarkan oleh AKPK seperti Pendidikan Kewangan, Kaunseling dan Nasihat tentang Pengurusan Kewangan dan Program Pengurusan Kredit.

"Melalui perkhidmatan yang ditawarkan AKPK, mereka boleh mendapatkan khidmat percuma kaunseling dan nasihat berhubung bajet, pengurusan wang dan isu-isu kredit termasuk membantu mereka membuat belanjawan bagi mengurus perbelanjaan.

"Dengan perkhidmatan ini, saya percaya mereka dapat merancang perbelanjaan mereka secara bijak terutamanya ketika menghadapi kenaikan harga yang menyebabkan kos sara hidup yang tinggi," katanya.

Katanya mereka boleh mendapatkan perkhidmatan AKPK melalui talian bebas tol 1800-88-2575 atau pun mengunjungi cawangan AKPK terdekat di seluruh negara.

Sementara itu, perunding kewangan Phua Lee Kerk mencadangkan supaya melakukan perbelanjaan harian mengikut keutamaan.

"Seseorang yang ingin berbelanja haruslah terlebih dahulu menyediakan senarai barangan daripada yang penting sehinggalah ke barangan tidak penting dan wajib.

"Selain itu, mereka juga perlu menetapkan had perbelanjaan untuk sesuatu pembelian bagi mengelakkan pembaziran dan perbelanjaan mengikut nafsu," katanya.

Katanya golongan muda yang sentiasa mengikuti trend semasa tidak akan melepaskan peluang untuk berbelanja ke atas barangan seperti gajet dan pakaian.

"Namun, kadang-kala perbelanjaan ini dilihat sebagai tidak perlu kerana kebanyakan mereka membelinya untuk tujuan menunjuk-nunjuk.

"Ada juga dalam kalangan mereka yang terpaksa membayar hutang yang pelbagai disebabkan terlalu mengejar trend dan akhirnya tidak mampu melangsaikan hutang itu," katanya.
 

0 komen: