Kepentingan takaful kepada Polis

Warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang belum memiliki polisi insurans hayat digalakkan supaya mendapatkan perlindungan peribadi itu bagi faedah diri dan keluarga berikutan tugas kepolisan terdedah kepada bahaya dan risiko.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, walaupun dalam bajet yang lalu kerajaan telah meluluskan insurans berkelompok kepada warga PDRM tetapi mereka mungkin perlu mengambil insurans peribadi sebagai jaminan kepada ahli keluarga.
Omar menyampaikan cek Skim Pampasan Bencana Kerja Ex-gratia PDRM kepada Che Zakaria Hassan, bapa kepada mangsa kemalangan maut, Lans Koperal Mohd. Faizal di Kuala Lumpur, semalam.
"Memandangkan tugas kepolisan yang penuh dengan risiko dan cabaran, saya ingin menyarankan kepada para pegawai dan anggota serta kakitangan awam yang masih belum mempunyai mana-mana polisi insurans hayat agar mulakan dari sekarang membeli polisi insurans dengan mana-mana syarikat insurans di negara ini bagi faedah diri dan keluarga.
"Sesungguhnya, tiada siapa yang dapat menduga apa yang akan berlaku di masa hadapan," katanya dalam ucapan semasa Majlis Penyerahan Cek Skim Pampasan Bencana Kerja Ex-gratia PDRM di Mes Pegawai Kanan, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.
Dalam majlis itu, seramai 25 orang terdiri daripada pegawai dan anggota polis yang hilang upaya kekal dan ibu bapa kepada anggota yang meninggal dunia semasa bertugas menerima cek pampasan menerusi skim tersebut.
Menurut Ismail, Skim Pampasan Bencana Kerja Ex-gratia diwujudkan untuk memberi pampasan kepada anggota perkhidmatan awam yang ditimpa bencana semasa menjalankan tugas rasmi termasuk yang teraniaya disebabkan anasir-anasir jahat akibat daripada tindakan semasa menjalankan tugas rasmi hingga menyebabkan hilang upaya kekal atau kematian.
Selain itu, katanya, keluarga mangsa yang terkorban, cedera parah atau mengalami kecederaan semasa menjalankan tugas juga mendapat faedah daripada pampasan tersebut.
Tambahnya, tragedi yang menimpa polis selalu mendapat perhatian masyarakat dan skim tersebut dapat meningkatkan kesedaran orang ramai dan keluarga PDRM tentang keprihatinan kerajaan dan pasukan keselamatan itu dalam menjaga kebajikan anggotanya.
"Sejak skim itu diperluaskan kepada PDRM pada 2008, sebanyak RM19,890,418 pembayaran telah diberikan kepada 393 kes permohonan," katanya.
"Bagi 2012 pula, 65 cek bernilai RM1.78 juta telah dikeluarkan untuk dibayar kepada penerima di beberapa kontinjen di seluruh negara," katanya.


Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130207/dn_12/Beli-insurans-hayat#ixzz2LJd9aSTM
© Utusan Melayu (M) Bhd 


0 komen: