Persiapan menghadapi dugaan kewangan

Apabila membuat apa-apa komitmen kewangan, seperti membeli rumah melalui pinjaman bank, anda sudah mengunci (locked) sebahagian daripada pendapatan masa depan bagi pembayaran balik pinjaman itu.

Sekiranya berlaku perkara tidak diingini seperti kematian atau kehilangan upaya atau bencana ekonomi seperti pemberhentian kerja, keupayaan untuk memenuhi komitment kewangan akan terganggu dan kemungkinan besar anda boleh kehilangan aset sedia ada!

Terdapat satu alat kewangan yang boleh diperoleh untuk melindungi anda daripada sebarang kemungkinan, iaitu insurans.

Insurans adalah satu cara melindungi diri, keluarga dan harta benda anda sekiranya berlaku sebarang perkara yang tidak diingini.

Selain menawarkan perlindungan, insurans juga memberikan anda ketenangan fikiran. Bayaran yang dibuat bagi insurans membolehkan anda:

• Membayar ganti rugi bagi barangan peribadi atau mendapat gantian barangan yang telah dicuri (sekiranya barangan tersebut diinsuranskan).
• Membayar bil perubatan apabila anda atau keluarga menerima rawatan di hospital.
• Menyelenggara perbelanjaan bulanan, hutang dan komitmen kewangan apabila anda tidak lagi berupaya bekerja disebabkan oleh penyakit kritikal atau kemalangan.
• Menyediakan bantuan kewangan bagi keluarga anda sekiranya ditakdirkan anda kehilangan upaya, mengalami penyakit kritikal atau meninggal dunia, terutama jika anda pencari nafkah utama.

Dana bersama

Apabila bayaran – yang dikenali sebagai premium – dibuat kepada syarikat insurans berlesen, maka syarikat itu bertanggungjawab membayar pampasan sekiranya anda mengalami sebarang kerugian atau kerosakan disebabkan oleh kebakaran, kemalangan atau kecurian.

Bagaimanapun insiden kejadian atau kemalangan ini mesti berlaku dalam tempoh insurans itu berkuat kuasa dan pampasan yang dibayar terhad kepada jumlah yang diinsuranskan.

Syarikat insurans menjual polisi kepada ribuan orang dan premium yang terkumpul menjadi sebahagian daripada dana bersama.

Tidak semua yang menyumbang akan menghadapi nasib malang. Jika ada sekalipun, biasanya bukanlah pada masa yang sama, maka dana tersebut akan digunakan untuk membantu mereka yang sudah menyumbang untuk sama-sama berkongsi risiko.

Industri insurans di Malaysia dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia (BNM). Untuk membantu orang awam mengetahui lebih lanjut mengenai insurans, BNM sudah mengeluarkan beberapa siri buku kecil yang boleh didapati di cawangan syarikat insurans. Anda juga boleh melayari laman web www.insuranceinfo.com.my untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Jenis produk

Insurans hayat adalah perlindungan yang membayar sejumlah wang kepada pemegang polisi sekiranya terjadi sesuatu tidak diingini kepada pemegang polisi seperti kematian, penyakit, kehilangan upaya dan pembiayaan hospital.

Amatlah penting untuk memiliki insurans terutama jika isteri, anak atau ibu bapa anda yang sudah tua bergantung hidup kepada anda.

Lazimnya, tempoh perlindungan insurans hayat adalah lebih daripada setahun dan anda mempunyai pilihan untuk membuat bayaran premium secara berkala, sama ada setiap bulan, suku tahun, setengah tahun atau setiap tahun.

Produk utama insurans hayat termasuklah:

• Insurans hayat seumur hidup
Polisi ini menawarkan perlindungan sepanjang hayat dan premiumnya dibayar seumur hidup anda. Wang manfaatnya, termasuklah bonus jika ada, akan dibayar selepas sesuatu kematian atau kehilangan upaya yang menyeluruh dan kekal dialami atau penyakit kritikal dihidapi. Biasanya, premium bagi insurans sedemikian lebih tinggi berbanding insurans bertempoh. Ia juga mempunyai nilai tunai sepanjang tempoh polisi itu berkuat kuasa.

• Insurans bertempoh
Menawarkan perlindungan insurans bagi tempoh terhad sahaja. Wang manfaat dibayar hanya selepas satu kematian atau sekiranya pemegang polisi mengalami kehilangan upaya menyeluruh dan kekal atau menghidap penyakit kritikal semasa tempoh polisi berkuat kuasa. Bayaran yang diterima adalah mengikut jumlah yang dipersetujui semasa polisi tersebut dibeli.

• Insurans endowmen
Polisi ini menggabungkan perlindungan dan juga simpanan. Ia menyediakan manfaat tunai pada akhir suatu tempoh tertentu atau atas kematian atau kehilangan upaya yang menyeluruh dan kekal. Tempoh polisi ditentukan pembeli.


Petikan artikel dari Berita Harian, 10November 2012 
Insurans(Takaful) melindungi diri, keluarga ketika menghadapi kemalangan, kecemasan.



0 komen: