DR. MASHITOH MAHAMOOD |
Ajal dan maut adalah ketentuan Allah. Apabila tiba masanya ia tidak akan dilewat atau dicepatkan walaupun sesaat. Allah berfirman: Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari Kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu... (Ali Imran: 185)
Bagaimanapun, mereka yang ditinggalkan harus meneruskan hidup. Sama ada berhadapan dengan kesempitan atau selesa, ia bergantung kepada sejauh mana kita menabung untuk masa depan keluarga.
Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto JEFFRI A. RAHMAN menemu bual pensyarah kanan Jabatan Syariah dan Undang-Undang Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Dr. Mashithoh Mahamood bagi mengupas isu ini.
MEGA: Apakah saranan Islam dalam menabung ini?
DR. MASHITHOH: Dalam Islam ini adalah usaha murni dan sangat dituntut. Ia lebih kepada perancangan harta terutama harta pusaka. Ia terbahagi dua iaitu untuk diri dan keluarga yang ditinggalkan.
Di dalam tafsir al-Qurtubi, beliau berkata, usaha tabungan adalah bertepatan dengan objektif syariah untuk menjaga agama, diri, akal, keturunan dan harta.
Ia bagi mengelak berlaku kerosakan, masalah dan lain-lain terutama jika meninggalkan keluarga dan anak-anak. Lebih-lebih lagi jika isteri itu tidak bekerja. Maka, semakin bertambahlah beban dan masalah yang dihadapi selepas kematian suami.
Tabungan ini adalah maslahah dunia yang boleh membawa kesejahteraan akhirat.
Dengan kesejahteraan minda atau akal, ia dapat memberi pendidikan yang terbaik untuk anak-anak. Demikian juga dengan kekukuhan ekonomi hasil tabungan tadi, kita dapat beribadat dengan tenang dan tidak dibebani hutang.
Ini juga dapat mengelak terlibat dalam gejala tidak bermaruah seperti isteri yang terpaksa bekerja sebagai Pegawai Perhubungan Pelanggan (GRO) untuk membela nasib anak-anak.
Dari segi hifz al-nafs (sejahtera diri dan emosi) ia dapat mengelak ditimpa tekanan hidup dan beban kewangan. Hal ini jika tidak ditangani dengan baik boleh membawa kepada perceraian suami isteri.
Semua ini menunjukkan pentingnya kita menabung untuk masa depan.
Bagaimana kisah Nabi Yusuf menafsir mimpi dapat dijadikan panduan mengurus ekonomi kita?
DR. MASHITHOH: Saya suka melihat kisah ini dalam konteks perancangan harta.
Kisah ini dinukilkan menerusi firman Allah, Yusuf menjawab: Kamu akan berladang tujuh tahun dengan kerja yang keras. Maka apa yang kamu tuai, hendaklah kamu tinggalkan pada tangkainya, kecuali sedikit dari yang akan kamu makan.
Kemudian akan datang sesudah yang demikian itu, tujuh tahun yang payah; dia akan memakan apa yang kamu sediakan baginya, kecuali sedikit dari yang kamu simpan. (Yusuf: 47 & 48)
Nabi Yusuf mengajar Raja Aziz Mesir (zaman Firaun) bagaimana untuk menghadapi musibah pada masa akan datang: menerusi perancangan harta yang baik.
Ia melibatkan persediaan awal iaitu usaha selama tujuh tahun untuk menghadapi apa-apa kemungkinan bagi tujuh tahun yang akan datang.
Perancangan ini akan dapat menyelamatkan daripada masalah pada masa depan.
Tidak salah memperuntukkan harta untuk manfaat sendiri tetapi kita perlu bekerja lebih kuat untuk memastikan hasil yang lebih banyak.
Atas kepandaian Nabi Yusuf mentadbir mimpi Raja Muda Aziz ini, beliau dikeluarkan daripada penjara. (Tafsir Ibnu Kathir hlm 251).
Kita boleh mengguna pakai konsep ini dalam kehidupan seharian. Bagi keluarga dan anak-anak, ibu bapa boleh mencarum kepada pelan-pelan Takaful seperti pendidikan dan siswa. Ia menjanjikan jaminan pembiayaan pelajaran anak-anak.
Bagi yang membeli rumah kediaman, kita boleh mencarum dalam Pelan Takaful Gadai Janji (TMP). Melalui TMP, jika pembeli meninggal, waris tidak perlu menjelaskan baki pinjaman.
Bagi diri sendiri, kita boleh melabur dalam saham amanah atau amanah pelaburan hartanah. Cuma kita kena pastikan ia mematuhi syariah.
Bagaimanakah golongan isteri boleh membantu merencana ekonomi keluarga supaya tidak keputusan wang apabila berhadapan masalah?
DR. MASHITHOH: Untuk merancang bajet rumah tangga, seseorang isteri perlu bijak. Saya menyarankan para isteri mengguna pakai sistem 2P.
Yang pertama ialah penyediaan bajet bulanan keluarga. Kita perlu pastikan agihan pendapatan mengikut bajet terutama bagi mereka berpendapatan rendah. Jangan terlebih belanja.
Ini meliputi perbelanjaan tolak hutang seperti kereta dan minyaknya, rumah dan lain-lain serta keperluan sara hidup termasuk pemberian kepada ibu bapa.
Yang kedua ialah perbelanjaan secara berhemah dan tidak membazir. Bukan kita tidak boleh berbelanja tetapi pastikan ia mengikut keperluan bukannya ikut perasaan.
Ramai yang menyedari kepentingan menabung untuk masa depan. Namun, membudayakan menabung secara istiqamah ini bukan mudah. Apakah petua melakukannya?
DR. MASHITHOH: Untuk memastikan ia dibuat secara berterusan, maka kita perlu pilih cara menabung yang boleh membantu ke arah itu.
Antaranya, tabungan secara potongan gaji bulanan ke akaun simpanan Tabung Haji, Takaful dan juga simpanan anak-anak.
Kaedah tabungan kontemporari ini dapat mengurangkan pembaziran waktu serta mengelakkan tunggakan yang akhirnya boleh menjejaskan keahlian dalam tabungan terutamanya skim insurans.
Kita juga boleh menggalakkan anak- anak menabung. Caranya dengan menyediakan tabung untuk setiap anak. Apabila mendapat duit raya atau pemberian sanak-saudara, galakkan mereka menabung. Ibu bapa juga boleh memberi hadiah kepada anak-anak yang menabung paling banyak sebagai galakan.
Melalui cara ini, insya-Allah mereka akan mempunyai disiplin untuk menabung. Bak kata pepatah, sikit-sikit lama-lama jadi bukit.
Ramai juga yang tidak mengambil berat dengan menamakan pewaris. Apakah implikasi hal ini?
DR. MASHITHOH: Ini berkaitan dengan penamaan harta orang Islam.
Contohnya, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), insurans Takaful, Tabung Haji dan Koperasi, penama perlu dilantik.
Dari sudut pentadbiran harta di negara ini, pelantikan penama dapat memudahkan agihan harta si mati (pihak pencarum) di mana keperluan kepada Surat Kuasa Mentadbir (SKM) dan Surat Probet tidak diperlukan.
Jika tidak dilantik, susah hendak mengeluarkan caruman tersebut. Sebabnya, apabila seseorang mati, hartanya akan dibekukan.
Jika ada penama, baru boleh dikeluarkan. Jika tidak, kita perlukan SKM atau Perintah Pembahagian (tanpa berwasiat) ataupun Surat Kuasa Probet (jika berwasiat). Walaubagaimanapun, perlu diingatkan bahawa bagi seseorang penama yang beragama Islam termasuklah seorang wanita, status pelantikannya adalah hanya sebagai wasi, bukanlah benefisiari sebagaimana yang berlaku kepada penama yang tidak beragama Islam.
Ini selaras dengan ketetapan fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam 1973 dan 2000 termasuklah fatwa negeri-negeri.
Sehubungan dengan ketetapan fatwa-fatwa di atas, Peraturan 9(2), Peraturan-Peraturan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja 2001 telah memperuntukkan bahawa, “Jika seorang ahli yang beragama Islam mati setelah penamaan dibuat mengikut peraturan-peraturan ini, orang atau orang-orang yang dinamakan hendaklah menerima amaun yang berada pada kredit ahli yang mati itu sebagai wasi dan bukan semata-mata sebagai benefisiari dan hendaklah membahagi-bahagikan amaun itu mengikut Undang-Undang Islam.”
Dalam Akta Takaful 1984, Akta Insurans 1996, Akta Koperasi 1993- penama adalah sebagai wasi (executor). Ada implikasi bila tak dituntut ia dianggap tiada waris. Jika luput tempoh waktu tertentu, akan dibayar kepada Pendaftar Wang Tidak Dituntut ikut Akta Wang Tak Dituntut 1965 (Akta 370).
Antara hal yang sering menimbulkan sengketa dalam sesebuah keluarga ialah bab hibah terutama kepada anak angkat. Bagaimana membetulkan keadaan ini?
DR. MASHITHOH: Ini ada kaitan dengan peranan perancangan harta orang Islam yang penting untuk diketengahkan.
Dalam undang-undang pusaka Islam, hanya waris yang layak boleh mewarisi yang punyai seperti ada hubungan kerabat@keturunan (nasab kelahiran), perkahwinan, seperti suami isteri, anak-anak, ibu bapa dalam keadaan biasa.
Anak angkat tidak boleh mewarisi harta. Sayangnya, tidak ramai yang memahami hal ini.
Jadi cara untuk memberi mereka ialah sama ada hibah atau wasiat. Hibah ini perlu dilaksanakan semasa pemberinya masih hidup.
Wasiat pula hanya boleh diberi satu pertiga daripada harta. Jika lebih, ia perlu mendapat kebenaran ahli waris yang lain. Bezanya, wasiat dilaksanakan selepas kematian pemberinya.
Dipetik daripada : Utusan Malaysia
Dipetik daripada : Utusan Malaysia
0 komen:
Post a Comment